Friday 18 July 2014

Teruja hendak pulang - Ariza Ghazalee - Penumpang MH17





Teruja hendak pulang
Petra Jaya: "Ariza ada menghubungi kami sebelum berlepas (dari Amsterdam) me minta supaya mengambilnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira jam 4 petang (semalam).

"Dia bersama suami dan anak dijadualkan pulang ke Kuching dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2 petang ini untuk pulang berhari raya dan terus bekerja di Shell Kuala Lumpur selepas tiga tahun bekerja di Kazakhstan," kata Jamilah Noriah Abang Anuar, 72 ibu kepada Ariza Ghazalee, 46, salah seorang penumpang MH17.
Ariza bersama suami Tambi Jiee, 48 dan empat anaknya Muhamad Afif 19, Muhamad Afzal 17, Marsha Azmeena 15, Marsha Afruz, 13 dalam penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Aidilfitri di rumah ibunya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), Jalan Astana, di sini.

Menurut Jamilah, anak kedua daripada lima beradik itu begitu teruja untuk pulang kerana suaminya Tambi dapat bertukar ke Ibu Pejabat di Kuala Lumpur.

Katanya, pada mulanya anaknya itu memaklumkan akan berada di Kuala Lumpur selama tiga hari sebelum pulang ke Kuching tetapi membatalkan rancangan itu kerana ingin berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga di kampung.

"Sebaik mendengar berita itu saya sudah jangka sesuatu yang buruk berlaku dan tunggu hingga pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk pengesahan.

"Sebaik selesai sidang media kami menghubungi MAS untuk pengesahan dan sah mereka enam beranak menaiki penerbangan itu," katanya ketika ditemui di rumah anak sulungnya di Jalan Sultan Tengah, di sini, sebentar tadi.

Jamilah berkata, kini dia masih menunggu perkembangan lanjut dari MAS untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, suasana suram dan hiba menyelubungi perkarangan rumah keluarga mangsa apabila semua adik beradik dan keluarga terdekat berkumpul menunggu perkembangan lanjut mengenai nahas pesawat itu.

Kenalan dan jiran terdekat tidak henti datang berkunjung memberi kata semangat dan mengucapkan takziah.

Jamilah dan beberapa ahli keluarga beberapa kali dilihat melihat album gambar enam beranak itu.

No comments:

Post a Comment